3 Mindset Yang Perlu Diterap Sebelum Memulakan Perniagaan

November 22, 2017

3 Mindset Yang Perlu Diterap Sebelum Memulakan Perniagaan. Sekarang ramai yang sudah mula berminat untuk berniaga. Tidak kira sama ada golongan muda yang terdiri daripada pelajar universiti sehingga golongan kolar putih yang sudah lama berkerja.

Kalau tengok dekat media sosial sekarang pun hampir setiap masa dapat tengok iklan daripada kawan-kawan yang menjual pelbagai jenis produk.

Apabila tengok ramai kawan-kawan yang sudah berjaya dengan berniaga, saya percaya ada yang pasang niat untuk mula berniaga. Ada yang mula dengan dropship dan ada juga yang mula dengan produk mereka sendiri.

Bagi orang yang baru berjinak dengan bidang perniagaan ni, saya dapat lihat dengan jelas satu trend negatif yang sedang berlaku di sosial media. 

Trend yang saya maksudkan adalah merajuk atau mengeluh apabila peniaga ini tidak mendapat sokongan moral daripada kawan-kawan mereka di media sosial.


Contoh yang paling jelas adalah peniaga baru ini mengungkit bahawa kawan-kawan tidak like atau tidak share pada iklan yang mereka tulis dan ada juga yang berkata ahli keluarga atau kawan-kawan tidak menyokong perniagaan mereka kerana tiada yang sudi membeli produk yang dijual.

Trend negatif seperti ini bukan sahaja boleh menyebabkan kawan-kawan atau ahli keluarga terguris hati dengan sikap peniaga baru ini malah menunjukkan peniaga baru ini seorang yang cepat menyalahkan orang lain apabila tidak berjaya mendapat jualan.

Trend ini bukan sahaja memberi kesan kepada kawan-kawan atau ahli keluarga tetapi turut memberi kesan kepada peniaga baru itu sendiri. 

Akibat daripada sikap peniaga baru seperti ini, ramai diantara mereka cepat berputus asa dan akhirnya selepas beberapa minggu atau beberapa bulan mereka berhenti terus daripada berniaga.

Untuk mengelakkan trend ini berterusan berlaku kepada peniaga baru, saya ada sedikit perkongsian yang mana mungkin berguna jika anda bercadang untuk memulakan perniagaan pertama anda.

Jadi perkara yang anda perlu ambil perhatian sebelum anda mula berniaga adalah seperti berikut :


Betulkan Niat Berniaga Kerana Allah dan Untuk Membantu Orang Ramai.


Paling utama sekali dalam melakukan sesuatu perkara adalah niat. Mulakan segala perkara dengan niat yang betul termasuk niat anda berniaga. Sebelum buat keputusan nak jual produk apa, tetapkan  dulu supaya niat itu betul.

Jangan pula niat berniaga kerana kawan-kawan atau ahli keluarga. Kalau niat tak betul, tu yang menjadi salah satu penyebab kecewa apabila tak dapat jualan.

Dan yang paling penting adalah sentiasa perbaharui niat kita kerana kadang-kadang kita boleh tersasar daripada niat asal berniaga. Ini adalah normal apabila jualan kita mendapat sambutan hangat, kita boleh terlupa mengenai niat asal. Jadi sentiasa beringat tentang ini.

Untuk perbaharui niat ni cuba amalkan sebolehnya pada setiap hari selepas bangun daripada tidur terus niat dengan betul. Kalau lupa juga, sebelum memulakan kerja atau aktiviti berniaga, niat sekali lagi dan jadikan ini sebagai amalan berterusan.


Jangan Menjual Kepada Kawan-Kawan Atau Ahli Keluarga.


Woahhh ayat ni macam pelik sikit kan ? Kenapa tak bagi jual dekat kawan dan ahli keluarga pulak ? Pelik betul perangai ni.

Sebenarnya maksud saya yang sebenar adalah jangan HANYA menjual kepada kawan dan ahli keluarga sahaja. 

Malaysia ni ada 30 juta penduduk. Daripada 30 juta tu mesti ada paling kurang 50 ribu hingga 100 ribu orang yang mempunyai minat yang sama mengenai produk yang anda jual. Jadi selepas ini sila tukar target anda untuk menjual kepada potensi pelanggan yang lebih ramai.

Malah masa saya mula-mula buat instagram untuk detik instax, saya hanya perkenalkan dan tambah pengikut yang terdiri daripada kalangan orang asing yang mana mereka ni mempunyai minat terhadap gambar polaroid dan bukan kawan-kawan atau ahli keluarga.

Selepas setahun buat print gambar polaroid, baru saya dekati dan iklankan kepada kawan-kawan dan ahli keluarga. Seperti yang saya jangka selepas perkenalkan kepada mereka, hanya beberapa orang sahaja yang buat tempahan dengan saya atau angka tepatnya tak sampai 5 orang pun kawan atau ahli keluarga yang beli dengan saya.

Tapi walaupun tak sampai 5 orang sahaja yang  beli, saya tidak pernah kecewa kerana pada masa itu saya sudah mempunyai pelanggan tetap dan pelanggan baru yang saya target sendiri dan mereka ini datang beli dengan saya pada setiap hari.


Berniaga Ni Susah Dan Ambil Masa Yang Lama


Bunyi macam negatif je kan ? Kenapa perlu set minda cakap berniaga ni susah ?

Kalau kita set minda berniaga ni senang, maka senang la jadinya kan ?

Yes anda boleh anggap berniaga ni senang dan mudah dan tiada siapa boleh halang. Tetapi kalau anggap berniaga ni senang dan setelah cuba beberapa bulan tetapi masih gagal mendapat jualan, saya risau anda akan kecewa dan terus berhenti berniaga.

Elon Musk pernah berkata :

“ If you don’t mind things being really hard and high risk, then starting a company is a good idea. Otherwise, it’s probably unwise. It will certainly stress you out. So I think you have to be pretty driven to make it happen. Otherwise, you will just make yourself miserable. ”

Berdasarkan kenyataan Elon Musk diatas, jelas sekali bahawa membangunkan syarikat ( perniagaan ) adalah sesuatu yang sangat susah dan berisiko tinggi..

Malah kebanyakan perniagaan yang berjaya pada hari ini mengambil masa yang lama untuk bertapak. Ada yang mengambil masa bertahun-tahun baru boleh bertapak dengan kukuh. Tidak kurang juga ambil masa bertahun-tahun kemudian gagal di pertengahan jalan.

Jadi sebelum mula berniaga set minda anda dengan jelas supaya anda dapat menangani segala kesusahan yang bakal menimpa sewaktu berniaga dan juga dapat teruskan berusaha walaupun pelbagai cabaran yang menempuh.


Ini adalah sedikit sebanyak perkongsian berdasarkan pengalaman saya sebagai peniaga kecilan. Saya harap perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada peniaga yang baru saja berjinak dengan alam perniagaan dan juga kepada yang teringin memulakan perniagaan.

Kalau ada yang ingin kongsikan pengalaman boleh turut berkongsi di bahagian komen di bawah. Mana tahu pengalaman dan tips yang anda kongsikan dapat membantu peniaga lain untuk menjadi lebih berjaya.

You Might Also Like

0 ulasan