Bagi yang masih tak tahu, pos Malaysia telah memperkenalkan Sampul Pos Ekspres Baru. Saya pun baru je tahu pasal ni sejak minggu lepas semasa nak beli sampul di pejabat pos Setia Alam. Jadi bukan korang je ketinggalan tak tahu pasal ni, saya pun tak tahu langsung pada asalnya. Ha Ha
Bila tengok sampul baru, ada benda yang menarik dan tak menarik terutama sekali bagi saya yang setiap hari gunakan sampul ini untuk pos gambar polaroid kepada pelanggan. Berikut adalah senarai apa yang saya suka dan tidak suka mengenai sampul baru ini :
Saya Suka
1. Rekaan Antara muka yang baru atau dalam Bahasa inggeris interface design. Kalau dilihat gambar di atas, sampul baru ini bertemakan warna oren yang agak menarik bagi pendapat saya.
Dengan rekaan baru ini, ruang untuk tulis alamat penerima sudah dipindahkan ke bahagian belakang bersama dengan alamat pengirim sekaligus memudahkan urusan tulis alamat pada 1 halaman.
2. Bahan yang digunakan untuk sampul baru ini adalah plastik manakala sampul lama menggunakan bahan seperti kertas kad. Dengan sampul plastik ini, barang yang dimasukkan dalam sampul akan lebih terlindung terutama sekali apabila terkena air.
Kalau barang anda berada di dalam peti surat dan peti surat tu mudah dimasuki air terutama sekali bila tiba musim hujan, sampul baru ini mampu melidungi sedikit sebanyak barang anda. Tapi kalau sampul tenggelam dalam air memang tetap tak dapat diselamatkan, barang anda tetap akan basah.
Saya Tidak Suka
1. Harga naik. Sampul rekaan baru dan bahan plastik, semua tu ada kos dan kos kali ni telah meningkat. Bila saya dapat tahu harga sekeping sampul pos ekspres baru bersaiz xs berharga RM 5.30 termasuk gst, saya agak terkejut. Wahh mahalnya !!
Yer memang agak mahal berbanding harga RM 3.70 sekeping sampul lama. Kenapa saya kata mahal adalah kerana saya ni peniaga atas talian dan yang cakap mahal tu sebenarnya adalah pelanggan saya bila mereka dapat tahu harga sampul naik.
Kalau saya pengguna biasa dan hanya beli sampul ni sebulan atau seminggu sekali untuk pos dokumen, mungkin harga tu masih boleh diterima.
Bila saya berniaga dan kebanyakannya gunakan pos ekspress untuk hantar gambar pelanggan, saya juga terpaksa naikkan harga pos. Kalau sebelum ini dengan sampul lama saya caj hanya RM 4 untuk pos, kali ni saya terpaksa naikkan harga pos kepada RM 6.
2. Susah untuk tulis alamat. Walaupun tadi saya suka ruang alamat hanya di satu bahagian sahaja iaitu bahagian belakang, tapi yang buatkan saya tak suka adalah susah menulis alamat kerana seolah-olah dakwat pen tidak melekat di ruang alamat.
Dakwat pen tidak melekat elok kerana sampul baru dan ruang alamat itu diperbuat daripada plastik. Mungkin ada yang tidak faham apa yang saya cuba katakan tapi kalau anda ada pengalaman menggunakan sampul baru, anda akan tahu apa yang saya cuba jelaskan.
Arahan di bahagian atas sampul ada tertulis * Gunakan pen dakwat kering hitam atau biru sahaja.
Saya dah cuba gunakan pen dakwat kering dan hasilnya tulisan menjadi putus-putus kerana dakwat pen tidak melekat dengan jelas :
Cuba perhatikan tulisan yang putus-putus akibat dakwat susah lekat semasa menulis.
Ini bukan masalah pen kerana apabila saya tulis menggunakan pen dakwat kering yang sama di atas kertas biasa, tiada masalah tulisan putus-putus berlaku.
Kemudian saya cuba tulis menggunakan pen dakwat basah diatas sampul baru ni :
Tulisan menggunakan dakwat basah.
Walaupun tulisan diatas tidak sempurna apabila menggunakan pen dakwat basah tapi tulisan menjadi lebih baik berbanding menggunakan pen dakwat kering. Tiada putus-putus dakwat pen berlaku apabila menggunakan dakwat basah dan lebih senang menulis diatas sampul baru ini.
Masalah utama apabila gunakan pen dakwat basah adalah saya terpaksa tunggu sehingga dakwat betul-betul kering dahulu. Kalau ada dakwat yang masih basah nanti akan kelihatan comot jika tersentuh atau tergores dan untuk tunggu dakwat kering sepenuhnya diatas sampul baru ni mengambil masa agak lama berbanding sampul yang lama.
Jadi ini merupakan sedikit sebanyak kelebihan dan kekurangan yang saya alami pada sampul pos ekspress yang baru.
Saya harap pihak pos Malaysia dapat memperbaiki kualiti tertutama sekali di ruang menulis alamat kerana saya dapati agak sukar untuk menulis menggunakan pen. Kalau sehari saya ada 20 pos, saya terpaksa mengalami kesukaran menulis alamat pada 20 keping sampul.
Buat masa sekarang hanya itu sahaja isu yang saya hadapi. Perkara lain membuatkan saya gembira dan selesa menggunakan sampul baru ini.